Mohd Mentor 4 Memilih Menjadi Pemandu Grab Demi Sesuap Nasi

Mohd Mentor seronok bekerja sebagai pemandu e-hailing, jumpa pelbagai ragam penumpang.

Mohd Mentor 4 Memilih Menjadi Pemandu Grab Demi Sesuap Nasi

KUALA LUMPUR: Bersikap realistik dengan perjalanan turun naik, penyanyi, Mohd Mentor tidak memilih kerja demi sesuap rezeki.

Tidak malu mengakuinya, juara program realiti Mentor musim keempat itu kini menjadi pemandu pelbagai aplikasi e-hailing seperti Grab dan MyCar.

Mohd atau nama sebenarnya, Mohamad Izwan Mohamad Nor berkata, dia mencari rezeki halal untuk keluarganya. Apatah lagi, negara sedang diuji dengan penularan virus COVID-19 dan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Allahyarham Os dahulu semasa hayatnya tidak malu bawa teksi membawa penumpang ke destinasi dituju. Saya juga tak kisah berbuat demikian.

“Saya sentiasa ingat, kehidupan tidak selalunya indah. Itu yang membuatkan saya berusaha mencari rezeki buat keluarga, lagi pula saya masih kuat bekerja.

“Apabila tiada tawaran menyanyi, saya akan jadi pemandu e-hailing seperti Grab, Mycar dan sebagainya. Tidak sesekali saya malu dengan kerja ini kerana rezeki Allah luas. Paling penting, saya mahu berusaha,” katanya kepada BH Online.

Mohd yang muncul dengan single ketujuh berjudul Cerita 1 Malam, beberapa bulan lalu berkata, kerja sebagai pemandu e-hailing sangat menyeronokkan.

“Saya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Saya tak menolak jika ada penumpang mahu saya menyanyi. Saya suka menghiburkan mereka.

“Apa yang penting, penumpang terhibur dan sampai ke destinasi dituju dengan selamat. Saya tak lupa berpesan memberikan lima bintang untuk perkhidmatan membawa mereka.

“Prinsip saya, jangan sombong dalam hidup. Tak rugi berbuat baik kerana saya selalu beringat hidup ibarat roda yang berputar.

“Orang cerdik boleh salah, orang pintar boleh gagal dan orang hebat pun boleh jatuh,” katanya penuh makna.

Foto Mohd bersama Ziana Zain semasa Mentor 4
Mohd Mentor jelas menunjukkan beliau amat gembira dapat menjadi pemandu e-haling

Mohd berkata, dia sentiasa ingat pesan arwah bapanya.

“Arwah abah pesan, jika tak boleh memberi, jangan kita meminta. Cuba berusaha, insya-Allah ada jalan dan akan dipermudahkan.

“Saya sudah lama hidup susah, sebelum PKP dikuat kuasa lagi, tetapi saya tak pernah minta bantuan.

“Saya tak minta bantuan kerana saya sedar ada orang lebih layak memerlukan bantuan,” katanya.

Mengulas lagu Cerita 1 Malam yang menampilkan dua penyanyi, Raden Atan dan Daily Ahmad di bawah nama Ra.Da.

Lagu Cerita 1 Malam ciptaan Iswandy Atan, lirik dihasilkan oleh Iswandy, Daily dan Mimn. Ia berkisar kejahatan yang dilakukan sepanjang malam.

“Pelbagai kejahatan yang dilakukan sepanjang malam termasuk membunuh dan berzina. Keesokannya, timbul kesedaran, dunia hanya pinjaman dan segera bertaubat,” katanya yang merakamkan lagu Cerita 1 Malam, dua bulan lalu.

Mohd kini bahagia bersama isteri, Nurul Asyiqin Zaidi dan memiliki cahaya mata berusia setahun dua bulan.

5 APRIL 2020

Credit To : Zaidi Mohamad | Berita Harian Online | Hiburan > Selebriti

5/5

2 thoughts on “Mohd Mentor 4 Memilih Menjadi Pemandu Grab Demi Sesuap Nasi”

Comments are closed.